Friday, May 14, 2010

Latar Belakang Qardhul Hasan Fund


Qardhul Hassan Fund merupakan sejenis pembiayaan hutang. Di dalam pinjaman secara Qardhul Hassan ini, orang yang memerlukan sumber kewangan seperti golongan fakir dan miskin boleh berhutang daripada seseorang. Beliau hanya perlu membayar semula jumlah wang yang dihutang sahaja, tanpa dikenakan sebarang syarat untuk bayaran tambahan. Berasaskan kepada konsep inilah Qardhul Hassan dikenali juga sebagai pinjaman kebajikan. Melalui prinsip Qardhul Hassan ini, golongan fakir dan miskin mendapat kemudahan sumber kewangan untuk membiayai keperluan asas kehidupan harian mereka.

Di dalam prinsip Qardhul Hassan Fund, pemiutang atau pihak yang memberi hutang tidak mendapat sebarang pulangan material daripada pinjaman yang telah diberikan.

Pemberian pinjaman tersebut lebih bertujuan untuk membantu golongan yang sedang di dalam kesempitan selain bertujuan menguatkan silaturrahim dan kasih sayang di antara golongan kaya dengan golongan miskin. Islam juga memberikan ganjaran pahala yang besar kepada pemberi hutang bahkan melebihi daripada pahala sedekah. Pemberian sedekah diberikan kepada orang yang tidak berhajat sedangkan pemberian hutang diberikan kepada orang yang berhajat.

Secara prinsipnya, Qardhul Hassan bermaksud aqad yang memindahkan hak milik tuan punya hutang kepada pihak yang berhutang. Pihak yang berhutang wajib membayar balik jumlah wang atau barang yang dihutang sama dengan yang diterimanya semasa aqad apabila sampai tempoh yang telah ditetapkan. Rukun perlaksanaan Qardhul Hassan ada empat iaitu pemberi hutang, penerima hutang, barang yang dihutang dan sighah iaitu ijab dan qabul. Kesemua rukun-rukun tersebut mempunyai syarat-syarat yang ditetapkan oleh syariat dan perlu dipenuhi bagi menentukan sah atau tidaknya perlaksanaan Qardhul Hassan tersebut. Pada dasarnya, hukum memberi hutang adalah harus.

Namun apabila seseorang itu berhajat kepada sesuatu yang dharuriyah yakni berhajat kepada salah satu daripada keperluan asas individu dan beliau tidak mempunyai jalan lain selain daripada berhutang, maka menjadi kewajipan golongan kaya untuk membantu.


Ini berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dan telah berkata Nabi Isa a.s. ‘Barangsiapa menolak seorang peminta dalam keadaan kecewa, maka malaikat tidak akan memasuki rumah itu selama tujuh hari" (Imam Al Ghazali, 1995: 175).
"Telah rosak binasalah orang yang mengumpulkan harta kekayaan, kecuali orang yang mebelanjakannya kepada hamba-hamba ALLAH (orang yang berhajat kepadanya) begini… dan begini… (menunjukkan kadarnya), dan orang-orang yang seumpama ini adalah sedikit sekali” (Imam Ghazali, 1978: 546).

Pemberi hutang diberikan ganjaran yang besar di sisi Islam kerana hutang di dalam Islam tidak dipinta kecuali oleh orang yang berhajat (Imam Ghazali, 1978: 762).

Walau bagaimanapun, Islam menggalakkan umatnya agar seboleh-bolehnya menjauhkan diri daripada berhutang kerana ia boleh mendatangkan kecelaan dan kehinaan. Ini dapat digambarkan melalui hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, daripada Anas, daripada Rasulullah s.a.w. di dalam doanya beliau menyebut: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kesusahan dan kesedihan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada kebaculan dan kebakhilan dan daripada beratnya hutang dan penindasan orang" (Muttafaqun ‘alaih).

Rasulullah s.a.w. pernah enggan untuk bersembahyang jenazah ke atas mayat yang meninggal dunia sebelum menjelaskan hutang sehinggalah mayat itu dijamin oleh sesiapa yang hadir untuk dibayar hutangnya.[55] Peristiwa ini menggambarkan betapa besar bebanan dan tanggungjawab yang dipikul oleh orang yang berhutang untuk menjelaskan hutang yang ditanggung. Ini kerana hukum membayar balik hutang adalah wajib. Namun begitu, Islam sebagai agama yang sejahtera juga menggalakkan pemberi hutang tidak menuntut pembayaran balik hutang yang telah diberikan.

Bahkan sekiranya hutang tersebut disedekahkan terus kepada si penghutang itu adalah lebih baik. Mengenai pembayaran balik hutang ini Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Dan sekiranya dia (orang yang berhutang) dalam kesempitan hendaklah kamu tunggu (tangguhkan) hingga ia mempunyai kelapangan (boleh membayarnya); dan kalau kamu sedekahkan (ketinggalan hutang), itu adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui" (Al Baqarah 2: 280).

Di dalam menjelaskan hutang secara Qardhul Hassan pula, pembayaran balik boleh dibuat lebih daripada jumlah yang dihutang mengikut budi bicara orang yang berhutang tetapi dengan syarat ia bukan merupakan ketetapan atau perjanjian yang dikenakan di dalam aqad hutang. Lebihan atau saguhati itu mesti merupakan pemberian ikhlas daripada penghutang sebagai tanda penghargaan kepada pemberi hutang. Saguhati tersebut adalah halal dan ia bukan merupakan riba kerana ia tidak disyaratkan di dalam aqad oleh pemberi hutang.

0 comments:

Post a Comment